Thursday, 5 December 2013

POLIS: Kematian 3 beradik bukan tragedi biasa

 

Polis: Kematian 3 beradik bukan tragedi biasa

Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mayat dua beradik yang ditemui dalam tali air. - Foto Sinar Harian oleh NOR FAIZAL GHAZALI                                                      
 
ALOR SETAR - Misteri kehilangan tiga beradik sejak Jumaat lalu, terjawab apabila kesemua mereka ditemui meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati di dua lokasi berasingan.

Noor Syafikah Nadia, 14, ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan separuh bogel kira-kira jam 3.45 petang berhampiran kawasan bendang di Kampung Alor Senibong, Langgar, semalam.

Manakala dua adiknya Nur Izzati Husna, 12, dan Putri Nurul Akmal, 3, ditemui kira-kira jam 3 petang, hari ini dalam keadaan terapung dalam tali air Terusan Mada Kampung Padang Petani, dekat sini.

Dalam kejadian berkenaan, Noor Syafikah, anak sulung kepada pasangan Rusdi Rani, 38, dan Siti Aishah Ariffin, 40, keluar rumah bersama dua adiknya di Jalan Datuk Kumbar, di sini, kira-kira jam 7.30 malam, Jumaat lalu.

Tiga beradik itu ke rumah seorang kawannya yang terletak di Kampung Gelam kira-kira 15 minit dari rumah mereka.

Bagaimanapun mereka tidak pulang ke rumah walaupun sudah lewat malam membuatkan pasangan berkenaan membuat laporan polis berhubung kehilangan anak mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam 2 pagi, Sabtu.

Pencarian mereka membawa kepada penemuan motosikal yang dinaiki ketiga-tiga mangsa berada dalam keadaan baik di pondok menunggu bas dalam keadaan berkunci.

Penemuan mayat Noor Syafikah terus menimbulkan keresahan keluarga kerana dua adiknya lagi masih gagal dikesan.

Bagaimanapun selepas kira-kira sejam selepas jenazah Noor Syafikah dikebumikan, hari ini, keluarga terbabit dikejutkan dengan penemuan mayat dua lagi anak mereka yang merungkai kehilangan tiga beradik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim menyifatkan kejadian berkenaan bukanlah tragedi biasa.

Menurut beliau, selepas penemuan mangsa pertama, bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan lemas dan pihaknya tidak menemui kesan-kesan lain pada badan mangsa.

“Kita juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan seksual termasuk rogol melainkan kesan calar pada bahagian belakang mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Manakala dua mayat yang baru ditemui akan dibedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mereka,” katanya ketika ditemui media di lokasi kedua penemuan mayat di Terusan Mada Kampung Padang Petani, hari ini.

Tambah beliau, polis turut menemui sehelai seluar berhampiran mangsa kedua tetapi masih belum dapat dikenal pasti sama ada seluar itu kepunyaan mangsa pertama atau sebaliknya.

“Kita akan minta mak dan ayah mangsa untuk buat pengecaman seluar yang ditemui dan akan meminta pihak hospital membuat bedah siasat secepat mungkin.

“Saya ingat ini bukan kejadian biasa disebabkan ketiga-tiga mangsa ditemui di lokasi berasingan,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya akan memberi keutamaan untuk menyiasat kes terbabit.

SUMBER: Berita Harian

No comments:

Post a Comment