Wednesday 1 January 2014

Wartawan Hebat Perlu Menguasai Pelbagai Bidang Ilmu - Datuk Ibrahim Yahaya

Orangnya ramah, sangat merendah diri dan murah sekali dengan senyuman, saat bertemu dengan Datuk Ibrahim Yahaya di Wisma Bernama TV, kami terus rancak berbual seolah-olah sudah lama kenal. Bukan sahaja tidak lokek dengan ilmu, malahan beliau juga senang berkongsi cerita tentang diri, karier dan keluarganya.

Datuk Ibrahim Yahaya ataupun lebih sinonim dengan panggilan “Tiger” dilahirkan pada 4 December 1960 dan telah mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hatinya Datin Rohaiza Hashim. Beliau sememangnya meminati bidang kewartawanan sejak dari zaman persekolahan lagi, dan kegemaran beliau ialah membaca surat khabar dari helaian muka pertama hingga helaian yang terakhir dan beliau juga senantiasa mengikuti  perkembangan dan isu semasa.

Beliau juga sering menulis artikel dan dan artikel pertamanya telah terpilih untuk dimuatkan dalam Dewan Masyarakat. Hal ini secara tidak langsung menjadi sumber inspirasi pemangkin dan pembakar semangat kepada beliau untuk terus melebarkan sayapnya dalam dunia penulisan. Selepas tamat dari Melaka High School beliau lantas menyambung pengajiannya di UiTM dalam bidang Mass Comunication pada tahun 1981 hingga 1983.

Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kewartawanan dan penyiaran dan telah dilantik berkhidmat di pelbagai jawatan. Kerjaya beliau bermula sebagai Research Officer selama sebulan di Dewan Bahasa Dan Pustaka, kemudian berkhidmat di Berita Harian, TV3 , Berita Publishing dan beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Media kepada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sehingga March 2011 sebelum menjadi Present CEO Bernama TV sehingga sekarang.

Kenangan Di ITM
Mengimbau kembali detik-detik ketika di ITM membuatkan beliau tersenyum seketika kerana terlalu banyak kenangan-kenangan manis yang tidak dapat dilupakan kerana baginya zaman bergelar seorang mahasiswa dan mahasiswi adalah satu zaman yang begitu menyeronokan.
 Kenangan ketika menjadi pelajar di ITM

Ketika di ITM beliau juga bergiat aktif dalam pelbagai bidang termasuklah menjadi anggota PALAPES (ROTU) berpangkat sarjan sehingga ditauliahkan sebagai Leftenan Muda , sikap tegas tidak menghalangnya untuk melibatkan diri dalam bidang drama, yang menariknya beliau juga pernah menulis sendiri skrip untuk drama lakonannya sehingga terpilih sebagai pelakon lelaki terbaik dalam Festival Drama ITM 1982.

“Setiap pelajar perlulah bergiat aktif dalam pelbagai aktivit dan tidak hanya tertumpu kepada akademik semata-mata dan semangat ini perlulah dididik sejak dari peringkat sekolah lagi”

Menyentuh tentang tentang perbezaan dari aspek  sistem pendidikan di ITM dulu dan sekarang ialah kebanyakan pensyarah dahulu terdiri daripada golongan yang bekerja di luar berbanding sekarang kebanyakan adalah dalam kampus sendiri.

“Perkara sebegini sepatutnya diteruskan kerana pelajar-pelajar akan mendapat maklumat dan input-input terkini daripada kalangan yang benar-benar berada di pasaran, pelajar-pelajar juga akan mendapat pendedahan yang mendalam tentang segala isu yang berkaitan”.

Wartawan yang hebat perlu mempunyai semangat ingin tahu
Lebih 30 tahun berkecimpung dalam arena penulisan , pelbagai onak duri, pahit manis dan ranjau telah dilalui demi sebuah cita-cita. Menurut Datuk Ibrahim lagi untuk menjadi seorang wartawan yang hebat perlulah mempunyai semangat ingn tahu dalam mendapatkan pelbagai maklumat dan rangkaian yang meluas perlulah dibentuk.

“Setiap tugas yang diberikan haruslah dilakukan dengan penuh minat dan dedikasi. Setiap wartawan perlulah diberikan latihan , didikan dan dibentuk untuk menjadi yang terbaik. Oleh itu, setiap organisasi perlulah mempunyai perancangan dalam membentuk satu rangkaian yang mantap dan hebat”.

“Konsep yang saya amalkan mudah iaitu tidak membezakan antara profesional dan personal dan menilai setiap individu dari aspek kebolehan mereka walaupun tidak mengenali dan tidak pernah menghabiskan masa bersama-sama”.

“ Saya masih ingat ketika menjadi Penasihat Media RTM saya telah membentuk satu pendekatan program latihan kepada wartawan-wartawan pelatih dan Alhamdulillah stesyen RTM berjaya membentuk satu rangkaian yang hebat sehingga kini masih lagi diteruskan dengan pelbagai penambahbaikan.”

Perkembangan media baru
“Jika dilihat kepada perkembangan media kini antara alternatif media kepada media cetak dan media elektronik ialah media sosial kerana pada masa kini media sosial semakin mendapat tempat terutamanya kepada pembangkang dalam memenangi peperangan persepsi .” ujarnya.

“saya perpegang kepda falsafah jadilah yang terbaik dan buatlah yang terbaik walaupun hanya sekadar seorang penyapu sampah”.

Sebelum mengakhiri perbualan beliau sempat berpesan kepada pelajar-pelajar UiTM supaya belajar bersungguh-sungguh dan setiap yang dilakukan perlulah disertai dengan minat yang mendalam kerana daripada minat akan terbentuknya satu gerak kerja yang lebih tersusun.

“jika kita melakukan pekerjaan hanya untuk mencari rezeki demi sesuap nasi maka perkara yang dilakukan tidak akan bergerak sesuci seperti yang dikehendaki tetapi jika disertai dengan minat maka kita akan berusaha gigih untuk memastikan segala hasil yang dikeluarkan adalah yang terbaik”.

“saya perpegang kepda falsafah jadilah yang terbaik dan buatlah yang terbaik walaupun hanya sekadar seorang penyapu sampah”.

Bersama anak-anak dan isteri tercinta 

Oleh : Fieda Mohamad