Thursday 5 December 2013

Rabecca Mahu Pulangkan Syiling 5 Sen Erma Fatima

 

Perselisihan faham di antara pelakon Rabecca Nur Al-Islam dan Pengarah Terbaik Drama, Anugerah Skrin 2013, Erma Fatima nampaknya tidak berpenghujung. Setelah keadaan reda seketika, tiba-tiba Rabecca menghubungi portal online Mstar dan memberitahu dia terkejut apabila menerima wang tuntutan sebanyak RM11,200 dalam bentuk wang syiling 5 sen.

Menurut pelakon berusia 23 tahun ini, wang tuntutan yang dimenangi menerusi saman terhadap Erma Fatima itu diserahkan oleh pihak peguam Erma bersama beberapa pembantunya di pejabat peguamnya pada petang Selasa. Kesemua syiling 5 sen itu yang dimasukkan ke dalam beberapa bungkusan termasuk sebuah kotak yang mengandungi Al-Quran.

Dalam kenyataannya pada Mstar, Rabecca mempersoalkan tindakan Erma dan dia tertanya-tanya sama ada pengarah itu masih tidak berpuas hati dengan kekalahannya di mahkamah.

"Apa maksudnya itu apabila dia (Erma) membayar wang saman dengan cara begitu? Adakah dia masih tidak berpuas hati dengan kekalahannya di mahkamah? Kenapa dia perlu menghantar kitab Al-Quran kepada saya seolah-olah ingin sindir saya?."

Tambah Rabecca, dia akan memulangkan wang terbabit kepada Erma dan memintanya membuat pembayaran secara berhemah.

Rabecca telah mengambil tindakan saman terhadap syarikat produksi milik Erma Fatima, Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd di sekitar bulan Julai lalu kerana syarikat tersebut gagal melunaskan baki bayaran lakonannya sebanyak 40 peratus untuk drama 'Dejavu Di Kinabalu' yang pernah disiarkan menerusi slot Akasia, TV3.

Pada Jumaat 8 November lalu, Rebecca yang diwakili oleh Azam, Idzham, Azman & Partner telah memenangi tuntutan saman tersebut. Mahkamah majistret Kuala Lumpur mengarahkan Erma mengembalikan baki jumlah wang lakonan Rabecca sebanyak 40 peratus berserta lima peratus faedah daripada bayaran selain membayar kos guaman kepadanya.

No comments:

Post a Comment