Monday 18 November 2013

Prosedur Jika Wang Lesap Dari Mesin ATM





Minggu ini adalah minggu dimana ramai orang keluar membeli -belah sempena jualan murah pertengahan tahun. Mak Cik Ramlah juga tidak melepaskan peluang dan turut memilih pelbagai jenis pakaian yang digemarinya. Oleh kerana wang sakunya tidak mengcukupi dia segera ke mesin ATM yang berdekatan untuk mengeluarkan duit. Alangkah terperanjat  bila mendapati jumlah baki wangnya telah berkurangan.

              Hal ini amat menghairankan Mak Cik Ramlah kerana mustahil instistusi yang paling selamat seperti bank wujudnya masalah sebegitu. Mak Cik Ramlah segera ke kaunter pertanyaan untuk mendapatkan kepastian dan mengetahui sebab-sebab terjadinya keadaan seumpama itu serta apakah prosedur yang perlu diikuti untuk mendapatkan wangnya kembali.

           Menurut kakitangan Bank yang bertugas, Nik Nor Ayuni Hazwani Nik Hashim ,masalah sebegini terjadi berkemungkinan sistem mengalami kerosakan ataupun tergendala. Selain itu, masalah kad seperti mikro cip rosak juga menyebabkan sistem tidak dapat mengakses data. Pastikan juga nombor pin yang betul dimasukkan dan elakkan memberi kad kredit kepada pihak ketiga dan simpan kad ditempat yang selamat.

             Taktik terbaru dimana ramai masyarakat kini tidak sedar ialah sindiket penipuan oleh pihak-pihak tertentu melalui Sistem Pesanan Ringkas(SMS) ataupun panggilan telefon yang memohon pengesahan butir-butir peribadi dan maklumat pelanggan sedangkan perbankan di Malaysia tidak ada yang mejalankan sistem tersebut. Justeru,pelanggan perlu berhati-hati supaya tidak terjebak dengan tipu daya sebegini.

              Jika  pelanggan kehilangan wang dan mengalami masalah pengeluaran wang tunai, mereka perlu mengisi borang aduan yang disediakan oleh pihak bank. Borang aduan tersebut mengandungi semua butir-butir laporan dan jenis-jenis aduan seperti  masalah wang keluar sebahagian, akaun didebit tetapi duit tidak keluar, duit ditelan tetapi akaun tidak dikredit ataupun duit sebahagian dikredit dan sebahagian lagi ditelan.

              Selain itu, pelanggan juga dikehendaki menyertakan bersama resit urusniaga sebagai bukti. Sekiranya kehilangan kad kredit ataupun dicuri perkara yang pertama yang perlu dilakukan ialah menghubungi pihak bank bagi tujuan sekatan kad dan pembatalan sebarang transaksi. Seterusnya laporan polis hendaklah dibuat supaya kad tersebut tidak dimanipulasikankan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

               Seterusnya pihak bank akan menyiasat dan menyemak aduan tersebut. Laporan tersebut akan diserahkan kepada ibu pejabat. Seandainya permasalahan tersebut timbul ekoran  daripada kecuaian pihak bank maka wang tersebut akan digantikan semula mengikut nilai jumlah wang yang hilang.

              Menurut pihak yang terlibat dalam menjalankan kerja-kerja penyelengaraan mesin ATM, berkemungkinan wujudnya masalah dari segi teknikal yang menyebabkan terjadinya perkara sebegitu.

              Pihak mereka akan menyelenggara mesin tersebut sekurang-kurangnya sekali seminggu dan menguji tetapan mesin seperti menguji screen power, dan sebagainya termasuk membersihkan mesin tersebut kerana kekotoran juga boleh mengakibatkan masalah.

             Oleh itu , kita sebagai pengguna haruslah sentiasa peka dan berwaspada. Tindakan segera perlulah diambil dan mengikuti semua prosedur yang betul sekiranya mengalami masalah yang melibatkan kad kredit kerana dikhuatiri masalah yang lebih serius akan timbul sekiranya dibiarkan berlarutan.

            Pelanggan tidak boleh hanya mendiamkan diri kerana sebagai pengguna sudah tentunya mempunyai hak dalam menyuarakan pendapat dan aduan. Oleh itu, pihak-pihak yang bertanggungjawab akan lebih memandang serius akan hal ini dan akan cuba memperbaiki sebarang kesilapan dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment